KUALA LUMPUR 17 April – Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan berlangsung pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).
Debat itu dijangka diadakan selama dua jam mulai pukul 9 malam dan boleh disaksikan secara fizikal atau melalui saluran media.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil pada sidang media bersama, berkata format debat itu merangkumi tiga bahagian.
Pertama, berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (SEB), sama ada ia perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Kedua, berhubung masa depan Malaysia merangkumi aspek politik, urus tadbir dan hala tuju negara serta ketiga adalah sesi soal jawab.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR mencabar Najib untuk berdebat berhubung isu Sapura Energy.
Najib kemudian menyahut cabaran debat terbuka itu, namun mahu Rafizi mengajak Anwar untuk sama-sama berdebat dengannya.
Pada 4 April, Anwar menyahut cabaran Najib dan bersedia untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan itu bila-bila masa sahaja.
Anwar berkata, kesediaannya untuk berdebat dengan Najib bermula sejak 10 tahun lalu di mana beliau pernah melontarkan cabaran serupa, tetapi tidak disahut Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu.
