PERDANA Menteri Britain Boris Johnson memohon maaf selepas didenda kerana menghadiri parti hari jadi kelahirannya di Downing Street pada 19 Jun tahun lalu, ketika pandemik Covid-19 melanda.
Beliau bagaimanapun enggan meletak jawatan dan menafikan sebarang salah laku serta mendakwa beliau tidak menyedari telah melanggar peraturan kerajaan.
“Hari ini, saya telah menerima notis penalti tetap daripada Polis Metropolitan berkaitan dengan acara di Downing Street pada 19 Jun 2020 dan izinkan saya memberitahu bahawa saya telah membayar denda itu dan saya sekali lagi memohon maaf sepenuhnya.
“Terdapat perhimpunan ringkas di Bilik Kabinet sejurus selepas jam 2 petang, berlangsung kurang daripada 10 minit, di mana orang yang bekerja dengan saya dengan baik hati menyampaikan ucapan mereka,” katanya.
Johnson berkata, beliau harus berterus terang pada ketika itu tidak terfikir bahawa tindakan itu mungkin melanggar peraturan.
“Tetapi sudah tentu, polis telah mendapati sebaliknya dan saya menghormati sepenuhnya hasil siasatan mereka,” katanya.
Beliau memahami kemarahan orang ramai yang menganggap dirinya sendiri gagal mematuhi peraturan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk melindungi orang ramai.
Dengan perkembangan terbaru ini juga, beliau merupakan pemimpin Britain pertama didapati bersalah kerana melanggar undang-undang sekatan Covid-19 semasa memegang jawatan. Turut didenda, Menteri Kewangan Rishi Sunak.
Seteru politik dan beberapa ahli Parti Konservatif yang memerintah, sebelum ini berkata, Johnson harus meletak jawatan jika beliau dikenakan denda.
