Menara Merdeka 118 simbol kejayaan meniti kemerdekaan

KUALA LUMPUR:  Menara Merdeka 118 mercu tanda baharu perlu dilihat sebagai kejayaan dalam meniti liku-liku kemerdekaan sehingga negara serba rencam dan majmuk dapat disatukan atas semangat nasionalisme yang tinggi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah Menara Merdeka 118 ini adalah simbol rakyat meraikan kepelbagaian negara sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka.

Titah baginda, dilihat dari sudut mana sekalipun, menara ini memberi cerminan bagaimana negara melalui peredaran zaman sehingga maju jaya dalam pelbagai bidang dengan struktur sosial dan nilai perpaduan menurut acuan tersendiri.

Justeru, titah baginda, rakyat Malaysia sewajarnya berasa bangga kerana Menara Merdeka 118 ini adalah bukti kejayaan Malaysia yang berterusan.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 di sini, malam tadi.  Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan merasmi dan memasyhurkan Masjid Al-Sultan Abdullah, masjid utama di Kompleks Menara Merdeka 118.

Baginda ketika  menzahirkan ucapan terima kasih kerana sudi menamakan masjid  dengan nama baginda menyifatkan ia satu tanda ingatan dan hadiah yang sungguh berharga yang akan baginda dan Raja Permaisuri hargai selagi nyawa di kandung badan.

Al-Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjadikan pembinaan Menara Merdeka 118 satu kenyataan.

Baginda yakin PNB sebagai sebuah institusi pelaburan utama negara akan terus melangkah maju dalam usaha memperkasakan ekonomi negara.

“Marilah sama-sama kita berdoa semoga ekonomi negara akan terus berkembang maju dan keamanan serta kesejahteraan akan terus berkekalan buat negara Malaysia yang kita cintai ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik usaha PNB melakukan restorasi Stadium Merdeka kepada keadaan asalnya seperti pada tahun 1957.

“Kini tersergam indah di lokasi yang penuh bersejarah ini ialah sebuah menara pada ketinggian 678.9 meter dengan puncak menara yang secara simboliknya melambangkan aksi laungan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 67 tahun yang lalu.

“Mercu tanda baharu ini yang berdiri megah di hadapan stadium keramat, yang menjadi bukti kelahiran sebuah negara merdeka, membawa seribu pengertian yang penuh bermakna,” titah baginda.

Menara Merdeka 118 itu dimiliki PNB melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd. Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).

Menara 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai (828 meter) manakala Shanghai Tower dengan ketinggian 632 meter di kedudukan ketiga.

Nnn

(Foto FB Fadilah Yusof)

Related posts

Leave a Comment