Kes jangkitan naik semula

PUTRAJAYA 13 April – Selepas tiga hari menunjukkan trend penurunan, angka jjangkitan Covid-19 semalam menunjukkan peningkatan apabila 9,002 kes baharu dilaporkan berbanding 7,739 kes kelmarin.

Bagaimanapun, ia masih kekal bawah lima digit untuk hari ketiga berturut-turut sejak Ahad lalu, kira-kira dua minggu selepas negara berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Berikutan pertambahan kes baharu semalam, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Malaysia kini mencecah 4,342,559.

Berdasarkan data dalam laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 8,950 jangkitan baharu adalah penularan tempatan, manakala 52 lagi kes import dengan 126,455 kes aktif di mana 123,341 individu menjalani isolasi di rumah.

Daripada jumlah itu, 8,935 kes (99.26 peratus) adalah dalam kategori satu dan dua, sementara 67 kes (0.74 peratus) lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.

Selain itu, seramai 2,675 pesakit Covid-19 kini dirawat di hospital, manakala 288 berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Seramai 54 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi tidak memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 97 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 30 kematian baharu Covid-19 dilaporkan, semalam, dengan enam adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Lima kematian dilaporkan di Johor, diikuti masing-masing empat kes di Pulau Pinang dan Sarawak (termasuk dua BID), masing-masing tiga kematian di Perak dan Selangor (termasuk satu BID); masing-masing dua kes di Kedah (termasuk satu BID), Melaka (dua BID), Negeri Sembilan dan Pahang; serta masing-masing satu korban di Perlis, Sabah dan Terengganu.

Seramai 16,986 pesakit dilaporkan sembuh daripada Covid-19, semalam, menyumbang kepada jumlah 4,180,763 kes, setakat ini.

Related posts

Leave a Comment