Peranan jemaah disiplinkan diri

SEBELUM memulakan solat sunat Tarawih di sebuah masjid baru-baru ini, seorang ahli jawatankuasa masjid bangun mengingatkan jemaah mengenai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.

Jemaah mesti mendapatkan dua dos vaksin, imbas MySejahtera, bawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka (mask).

Beliau bagaimanapun memberi penekanan supaya jemaah memakai pelitup muka berikutan ada jemaah yang membuat aduan dalam kalangan jemaah itu masih ada yang mengabaikan SOP khususnya tidak memakai pelitup muka.

Pada masa yang sama ahli jawatankuasa itu mengingatkan tanggungjawab menjaga perasaan ‘orang sebelah’ apabila jemaah berkenaan tidak memakai pelitup muka.

Peringatan itu kena pada tempatnya. Dalam beribadah, tidak wajar seseorang jemaah ‘mengganggu’ atau menimbulkan kebimbangan orang lain yang sama-sama beribadah termasuk semasa solat, apatah lagi ketika tiada lagi penjarakan.

Justeru hormatilah jemaah yang berusaha melindungi diri mereka dengan memakai pelitup muka. Jangan sampai jemaah sebelah hilang khusyuk gara-gara kita tidak memakai pelitup muka atau jemaah itu ‘angkat kaki’ mengalah mencari saf lain.

Kita harus menghargai dan meraikan peralihan ke fasa endimik ini yang boleh dianggap sebagai satu ‘kebebasan’ selepas dua tahun ‘dibelenggu’ dengan pelbagai SOP. Namun kebebasan itu tidak bermakna kita bebas sebebasnya.

Banyak peraturan atau SOP sudah dimansuhkan tetapi pada masa yang sama untuk tempoh sekarang, jangan terus mengabaikan SOP yang berbaki termasuk memakai pelitup muka. Bersabarlah sehingga ‘pelitup muka’ digugurkan dan suasana kembali normal.

Memasuki masjid dan surau, masih perlu imbas MySejahtera tetapi itu pun semakin diabaikan atau tiada lagi yang ambil peduli. Tidak ada lagi yang memantau di pintu masuk masjid atau surau. Tiada siapa peduli sudah vaksin atau tidak.

Maka yang tinggal hanyalah pelitup muka ketika sejadah bukan lagi satu kemestian sehingga tidak boleh masuk solat seperti sebelum ini. Sejadah berada di kedudukan  kedua atau ketiga. Keutamaan ketika ini memakai pelitup muka.

Jemaah boleh dimaafkan jika tidak membawa sejadah tetapi tanpa pelitup muka boleh menimbulkan kerisauan orang lain. Setiap orang perlu melindungi diri sendiri daripada wabak ini.

Lebih-lebih lagi di masjid dan surau, golongan yang ramai adalah warga emas – mereka mungkin ibu bapa kita – datuk atau nenek kita. Lindungilah mereka.

Justeru di samping melindungi diri sendiri, kita juga perlu melindungi mereka untuk menghabiskan sisa-sisa hidup dengan solat berjemaah dan mengikuti pelbagai program mengimarahkan masjid.

Kita bukan berada di Makkah atau Madinah yang sudah melonggarkan pemakaian pelitup muka, merapatkan saf. Bandingkan berapa kes di Arab Saudi dan berapa kes di Makaysia. Patuh dan hormatlah peraturan di mana kita berada.

Seperti kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, masyarakat perlu terus berwaspada terhadap penularan pandemik Covid-19 dalam fasa peralihan ke endemik dengan memakai pelitup muka bagi mengawal jangkitan.

Pemakaian pelitup muka adalah antara langkah pencegahan yang dapat mengurangkan penularan virus itu terutamanya di kawasan jangkitan berisiko tinggi seperti tempat tertutup dengan pengudaraan yang tidak baik, tempat sesak, dan tempat individu melakukan interaksi jarak dekat.

Dr Noor Hisham berkata, amalan terbaik adalah kedua-dua individu iaitu pembawa Covid-19 dan juga individu sihat memakai pelitup muka kerana cara itu menjadikan risiko penularan virus berkenaan pada tahap sangat rendah.

Dalam hal ini, adakah kita bersedia ditegur dan menerima teguran bagi kebaikan bersama? Apa tindakan kita sekiranya ada individu yang tidak memakai pelitup muka atau memakainya dengan tidak betul?

Kata Dr Noor Hisham : “Sekiranya terdapat individu yang tidak memakai pelitup muka atau memakainya dengan tidak betul, kita boleh saling menegur secara berhemah. Amalan ini perlu dibudayakan demi menjaga kesihatan sesama kita,”

Adakah kita sedia menegur dan anda pula sedia menerima teguran?

Related posts

Leave a Comment