Endemik: 252,730 keluar masuk negara

PUTRAJAYA 7 April – Seramai 252,730 pengembara direkodkan masuk dan keluar Malaysia melalui pintu masuk utama negara sejak pembukaan pintu sempadan negara pada  1 April hingga Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata jumlah itu direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

Jumlah kemasukan dan keluar pelawat juga direkodkan di pintu masuk Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam, Kedah; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan pintu masuk Sungai Tujoh, Sarawak.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 126,392 adalah ketibaan dan 28,301 berlepas membabitkan warganegara Malaysia manakala 55,121 ketibaan dan 42,916 berlepas membabitkan pengembara warga asing.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata,pelawat tertinggi direkodkan dari lima negara iaitu Singapura seramai 65,165, Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485).

Pintu masuk negara yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing tertinggi adalah Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan 160,818 pengembara, KLIA (38,407), Kompleks Sultan Abu Bakar Link Kedua (53,113), klia2 (11,712) dan Bukit Kayu Hitam (6,980).

Pada masa yang sama, pengeluaran Pasport Antarabangsa Malaysia juga mencatatkan peningkatan mendadak apabila bagi tempoh 1 hingga 4 April 2022 sebanyak 12,923 naskhah pasport dikeluarkan di semua Pejabat Imigresen seluruh negara.

Jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan pembukaan sempadan yang membolehkan orang ramai melancong keluar negara dan mengerjakan umrah.

Katanya, dalam tempoh 1 April hingga Isnin lalu, pergerakan keluar masuk warga asing mencatatkan peningkatan 76.4 peratus manakala pengeluaran pasport meningkat 38.2 peratus berbanding tempoh sama pada Mac 2022.

Related posts

Leave a Comment