Hati-hati kunjungi tempat awam

KOTA KINABALU 5 April – Kerajaan negeri mengingatkan rakyat di seluruh Sabah supaya lebih peka dan berhati-hati ketika mengunjungi tempat terbuka, khususnya bazar Ramadan dan pusat membeli-belah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, yang mengingatkan demikian berkata ini berikutan peratusan jangkitan sporadik semalam kembali meningkat kepada 55 peratus berbanding 43 peratus pada Ahad lepas.

Katanya, peratusan jangkitan sporadik yang tinggi bermakna risiko jangkitan juga akan bertambah tinggi, khususnya di tempat awam yang sesak dengan orang ramai seperti bazar Ramadan dan pusat membeli-belah.

“Ramai pengunjung akan berpusu-pusu ke tempat sesak ini untuk membeli-belah. Patuhi semua prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Masidi berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka iaitu 140 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 368,220 kes dan tiada kes kematian dilaporkan.

Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 210 menjadikan jumlah kumulatif 352,915 orang, 289 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 273 orang di hospital, 15 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang di pusat tahanan sementara.

Related posts

Leave a Comment