Agong, Permaisuri positif Covid-19

KUALA LUMPUR 2 April – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disahkan positifCovid-19.

Berikutan itu, baginda berdua kini menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara masing-masing hingga Khamis dan Jumaat ini.

“Perkenan Seri Paduka Baginda berdua menjalani kuarantin kendiri selaras protokol dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kes positif Covid-19 mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan. Kesihatan Seri Paduka Baginda berdua secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong sempena ketibaaan Ramadan turut menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara memasuki Fasa Peralihan Endemik Covid-19 kelmarin.

“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan keafiatan berpanjangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment