TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump harus bertanggungjawab ke atas nyawa rakyat Iran yang telah terkorban akibat rusuhan.
Beliau mendakwa Trump turut bersalah apabila memfitnah negara itu dan menggalakkan perusuh bertindak ganas terhadap infrastruktur dan bangunan-bangunan di Iran.
“Kami berpendapat Presiden AS bersalah, sama ada terhadap nyawa yang terkorban, kerosakan yang berlaku, mahupun fitnah yang beliau lemparkan terhadap bangsa Iran,” katanya ketika berucap di sebuah majlis pertemuan bersama penyokongnya di hari ini.
Menurut khamenei, secara lazimnya hanya media atau ahli politik di AS serta para pemimpin negara Eropah yang akan masuk campur sekiranya wujud aktiviti subversif untuk menentang kerajaan republik Islam itu.
Namun menurutnya, situasi kali ini berbeza apabila Trump sendiri masuk campur dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan, menggalakkan perusuh untuk melakukan bantahan serta memberi jaminan bantuan ketenteraan.
“Presiden AS sendiri terlibat secara langsung dalam gerakan hasutan itu,” katanya, sambil ucapannya disambut laungan “Jahanam Amerika, Jahanam Israel dan Jahanam pengkhianat” oleh para penyokongnya.
Pada masa sama, Khamenei memberi jaminan untuk tidak mengheret Iran ke kancah peperangan namun bertegas bertindak terhadap pihak yang menjadi ancaman negara yang disifatkan sebagai penjenayah antarabangsa.
“Penjenayah antarabangsa lebih teruk daripada domestik, kita tidak akan biarkan mereka begitu sahaja dan harus diatasi dengan langkah tersendiri melalui kaedah yang tepat.
“Bangsa Iran mesti menewaskan golongan penghasut seperti mana mereka berjaya memadamkan fitnah hasutan tersebut,” katanya lagi.
Protes yang tercetus pada 28 Disember lalu merupakan respons rakyat Iran terhadap krisis ekonomi yang melanda negara itu namun kemudiannya bertukar menjadi rusuhan ganas.
Trump berulang kali mengancam untuk campur tangan, termasuk berjanji untuk mengambil “tindakan yang sangat tegas” sekiranya Iran melaksanakan hukuman mati terhadap para penunjuk perasaan.
Namun pada Jumaat menerusi satu hantaran di media sosial, beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Iran sambil menyatakan bahawa hukuman gantung secara besar-besaran telah dibatalkan.
Iran sebelum itu mengesahkan bahawa tiada rancangan untuk melaksanakan hukuman gantung terhadap perusuh.
