Selamat Datang 1 April 2022

SELAMAT datang 1 April. Tepat 12 tengah malam tadi, Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 yang menyebabkan pelbagai halangan dan kekangan.

Pastinya kita masih ingat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 18 Mac 2020, penutupan sempadan negara, penutupan masjid dan surau, amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Begitu juga halangan merentas daerah dan negeri, malahan pergerakan kita seolah-olah dikawal dengan aplikasi MySejahtera serta pelbagai lagi ‘sekatan’.

Bagaimanapun hari ini 1 April 2022, keadaan berubah. Fasa Peralihan Ke Endemik menyaksikan pelbagai kelonggaran diberikan semula, termasuk aktiviti solat jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Premis perniagaan dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis, apabila had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

Restoran mamak kini sudah boleh beroperasi 24 jam, begitu juga premis lain yang mempunyai had operasi 24 jam.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu manakala pendaftaran kemasukan menggunakan aplikasi MySejahtera juga masih diwajibkan, dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Lebih bermakna lagi bagi mereka, rakyat Malaysia terutamanya yang berada di negara jiran terdekat iaitu Singapura dan Thailand.

Suasana meriah di Tambak Johor, apabila ramai saudara mara dan rakan-rakan bersedia menyambut kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang sudah lama tidak pulang ke tanah air disebabkan penutupan pintu sempadan.

Sebahagian daripada ribuan rakyat Malaysai itu berjalan kaki manakala yang lain menaiki motosikal serta kereta dari Woodlands Checkpoints ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.

Begitu juga kemasukan dari sempadan Malaysia-Thailand serta melalui udara.

Dalam kegembiraan menyambut 1 April ini, orang ramai diingatkan supaya tidak lalai dan terus mengamalkan kawalan kendiri, bagi memastikan Covid-19 terus terkawal dan tidak lagi membelenggu kehidupan masyarakat keseluruhannya.

Related posts

Leave a Comment