Mohon keluar KWSP juga hari ini

PUTRAJAYA 1 April – Mulai hari ini, sehingga 30 April, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mula membuka permohonan pengeluaran khas seperti diumumkan Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Ahli di bawah umur 55 tahun yang membuat permohonan akan menerima bayaran secara one-off (satu bayaran) sahaja bermula 20 April.

Pembayaran akan dikredit ke dalam akaun bank simpanan atau semasa dengan ahli perlu memastikan akaun bank mereka masih aktif dan di bawah nama sendiri.

Perdana Menteri semasa mengumumkan perkara itu pada 13 Mac lalu berkata, pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik bagi memenuhi keperluan mendesak ketika ini.

KWSP sendiri mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu

Pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 boleh berbuat demikian melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

Bagaimanapun, dana persaraan itu menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan.

Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.

Related posts

Leave a Comment