Pelawat tiba di Brunei perlu ujian ART

BERAKAS 31 Mac – Pelawat yang tiba di negara ini yang pernah dijangkiti Covid-19 dan mempunyai bukti jangkitan seperti Sijil Kesembuhan Covid-19 (tarikhnya tidak lebih dari 90 hari) dikecualikan dari menjalani Uji Swab RT-PCR.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, mereka hanya diperlukan menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) pada hari ketibaan sahaja.

Walau bagaimanapun, jika individu tersebut pernah dijangkiti Covid-19 tetapi sudah sembuh melebihi enam bulan, mereka masih diperlukan untuk menjalani protokol kesihatan yang ditetapkan sebelum tiba ke Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu rakyat atau penduduk negara itu yang ingin membuat perjalanan keluar negara melalui udara sahaja, tidak lagi perlu membuat permohonan kebenaran perjalanan keluar negara dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dr. Abu Bakar Apong berkata, perjalanan keluar hanya bagi rakyat dan penduduk yang mendapatkan dos ketiga vaksin Covid-19 atau melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh perjalanan.

Katanya, bukti status vaksinasi hendaklah ditunjukkan semasa berangkat meninggalkan negara ini.

Pengecualian adalah diberikan bagi mereka yang mempunyai Sijil Kesembuhan Covid-19 dengan tempoh sah selama 90 hari dan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun dengan syarat mereka membuat perjalanan dengan seorang dewasa yang memenuhi syarat vaksinasi.

Bagi mereka yang membuat perjalanan dengan hasrat untuk berada di luar negara secara jangka pendek dengan tempoh kurang daripada 90 hari juga diperlukan mendapatkan insurans perjalanan yang meliputi perlindungan rawatan Covid- 19.

Beliau meminta warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam, mendaftar dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri secara ‘online’ sebelum membuat perjalanan keluar negeri melalui pautan ‘http://www.mfa.gov.bn/Pages/eRegister_desc.aspx’ bagi memudahkan bantuan semasa kecemasan dan krisis.

Perjalanan keluar dan masuk melalui pos-pos kawalan darat atau laut adalah masih mengikut syarat-syarat dan tatacara yang berkuat kuasa pada ketika ini, iaitu memerlukan kebenaran Exit Travel bagi perjalanan keluar negara dan Entry Travel Pass bagi warganegara asing.

Perbincangan dengan negara jiran sedang giat dijalankan bagi perjalanan keluar dan masuk melalui pos-pos kawalan darat dan laut.

Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci mengenai garis panduan perjalanan keluar dan masuk negara boleh didapati melalui Laman Sesawang JPM ‘www.jpm.gov.bn/travelportal’.

Related posts

Leave a Comment