Status tidak lengkap bukan hilang

PUTRAJAYA 28 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan mesej tular yang mendakwa status vaksinasi bagi individu tidak menerima dos penggalak akan dihilangkan mulai minggu depan.

Menurut KKM, status vaksinasi penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin primer berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendapatkan dos penggalak, akan hanya bertukar menjadi tidak lengkap.

“Mesej itu adalah palsu. Ia bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej itu,” kata KKM dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, mesej disebarkan melalui media sosial, antara lain meminta penerima vaksin membuat tangkap layar status vaksinasi masing-masing dan menyimpannya kerana kerajaan didakwa akan memadamkan status vaksinasi kira-kira dua juta penerima vaksin yang masih enggan mendapatkan dos penggalak.

Mesej itu juga menyarankan orang ramai berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga jika status vaksinasi masing-masing terpadam secara tidak sengaja oleh aplikasi MySejahtera.

Pada 24 Februari lalu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak yang ditetapkan sehingga 31 Mac ini kepada penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas serta individu berusia lebih 60 tahun yang layak.

Kegagalan berbuat demikian selepas tarikh berkenaan akan menyebabkan status vaksinasi mereka bertukar menjadi tidak lengkap bermula 1 April ini.

Related posts

Leave a Comment