Puad melenting saranan tukar Zahid

SEPANG  1 Feb. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr Puad Zarkashi ‘melenting’ dan menyifatkan ‘amat keterlaluan’ saranan supaya Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO diganti dengan pemimpin lain.

Puad dalam kenyataan melalui Facebooknya berkata, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim sepatutnya mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim menukar menteri PKR yang tudak “perform”.

“Ada juga pandangan Hassan Karim yang bagus. Tetapi bila dia minta Zahid diganti ia amat keterlaluan. Hassan patut “cermin diri sendiri.

“Sepatutnya dia desak PMX tukar menteri PKR yang tidak “perform”. Apa kejayaan Rafizi untuk ekonomi rakyat. Setakat daftar PADU?

Jangan lupa Premier Sarawak juga memberi komen negatif terhadap Menteri Pendidikan dari PKR. Patut Hassan desak PMX buat penilaian,” katanya sebagai reaksi balas kepada kenyataan Hassan.

Hassan dalam kenyataan kepada Free Malaysia Today (FMT) berkata, UMNO perlu pemimpin baharu yang segar, berintegriti, dan karisma untuk membawa balik sokongan UMNO, BN dan kini PH-BN.

Puad mengingatkan ahli Parlimen PKR itu bahawa pemilihan Zahid sebagai Presiden UMNO adalah hak akar umbi UMNO.

“UMNO tidak campur urusan PKR bila Rafizi menang jawatan Timbalan Presiden PKR yang kononnya tidak telus. Hassan jangan hipokrit soal terpalit, UMNO turut terpalit dengan formula kosong Rafizi. Ringgit tetap jatuh. Harga barang tidak turun. Jangan buta sebelah,” katanya.

Menurut laporan FMT, Hassan dalam kenyataan berpendapat UMNO perlu diterajui muka baharu, tidak hanya “menumpang dahan” Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar yang diakuinya “rapuh” dalam berdepan PRU16.

Katanya, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma penting untuk mendapatkan undi Melayu – kumpulan sokongan paling corot diterima gabungan PH-Barisan Nasional (BN) kini.

Dari segi sokongan orang bukan Melayu, Hassan berkata gabungan PKR, Amanah, serta DAP yang menjadi anggota penting kerajaan perpaduan telah teruji dan bakal terus menikmatinya dengan syarat PH tidak “gila kuasa” sehingga lupa agenda progresif untuk membawa reformasi.

“(Yang) menjadi masalah kepada PH-BN ialah kemerosotan sokongan Melayu yang boleh diatasi jika UMNO dapat membawa sokongan Melayu kepada gabungan itu.

Dalam keadaan sekarang sukar selagi UMNO dipimpin presidennya Zahid Hamidi. Selagi Zahid memimpin UMNO , orang Melayu sukar kembali menyokong UMNO , BN atau PH-BN,” kata Hassan.

Menurut Hassan, tanpa rombakan, UMNO bawah Zahid akan menumpang di dahan PH pimpinan Anwar yang ‘tidak kuat mana pun’.

Dalam pada itu, Hassan berkata melaksanakan dasar pro rakyat seperti subsidi untuk kumpulan bawahan juga boleh menjadi “jalan lain” untuk PH-BN mendapat sokongan Melayu.

Namun, pada masa sama beliau bimbang kemarahan orang Melayu akan tercetus jika dilaksanakan rombakan drastik terhadap perkhidmatan awam seperti penamatan skim pencen untuk kakitangan baharu selain sistem lantikan kontrak yang didakwanya mungkin tidak berperlembagaan.

Related posts

Leave a Comment