Melaka jarak sejadah ke sejadah

MELAKA 27 Mac – Mulai 1 April ini, solat berjemaah di semua masjid dan surau di Melaka boleh dirapatkan saf mengikut saiz sejadah berbanding penjarakan fizikal satu meter, sebelum ini, kata Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, ketetapan itu selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik Covid-19 mulai tarikh itu.

“Berkuatkuasa 1 April ini, di Melaka kita benarkan solat jemaah dengan jaraknya antara satu sejadah ke satu sejadah, (masih) ada sedikit penjarakan.

“Boleh rapat (saf), orang nak sembahyang, takkan nak rapat saf saya kata tak boleh? Orang habis sembahyang, dia baliklah, jadi boleh rapat saf dengan ukurannya satu sejadah ke satu sejadah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan gudang runcit Baloy Sdn Bhd (Baloy) yang pertama di Melaka di Bukit Senjuang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Melaka memberi kelonggaran kepada pengurusan masjid menggunakan kebijaksanaan mengawal penjarakan jemaah.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) akan dikuatkuasakan mulai 1 April ini, Sulaiman berkata, kerajaan akur kepada sebarang ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Related posts

Leave a Comment