BAITULMUQADDIS – Israel akan membuka semula lintasan sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir, selepas selesai operasi mencari mayat tebusan warganya yang masih belum ditemukan.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Presiden Donald Trump, Israel bersetuju dengan pembukaan semula terhad lintasan Rafah bagi laluan pejalan kaki, tertakluk kepada mekanisme pemeriksaan penuh oleh Israel.
Setakat ini, semua tebusan sudah dikembalikan kecuali mayat seorang anggota polis Israel, Ran Gvili.
Tentera Israel memaklumkan mereka sedang menjalankan operasi khas di utara Gaza bagi mengesan dan mengambil jenazah berkenaan, berdasarkan beberapa maklumat risikan yang diterima.
Sebelum ini, lintasan Rafah dijangka dibuka semasa fasa awal pelan gencatan senjata yang dicadangkan Trump, selepas Israel dan Hamas mencapai persetujuan gencatan senjata pada Oktober tahun lalu.
Pada Khamis lalu, ketua jawatankuasa sementara Palestin yang disokong AS untuk mentadbir Gaza, Ali Shaath, berkata bahawa Rafah dijangka dibuka minggu ini.
Lintasan Rafah adalah laluan utama keluar masuk Gaza bagi lebih dua juta penduduk wilayah itu. Sejak 2024, bahagian Gaza di pintu masuk itu berada di bawah kawalan tentera Israel.
Washington turut memaklumkan bahawa pelan berkenaan kini memasuki fasa kedua, yang membabitkan pengunduran lanjut tentera Israel dari Gaza serta penyerahan pentadbiran wilayah itu oleh Hamas.
Nnn
