Kedah juga rapatkan saf

ALOR SETAR 27 Mac – Semua masjid dan surau di Kedah dibenarkan menganjurkan solat berjemaah sama ada solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mulai 1 April ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran itu selaras dengan fasa peralihan ke endemik dan setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Bagaimanapun, bagi aktiviti selain solat berjemaah, penjarakan fizikal masih diwajibkan termasuk jamuan makan, gotong-royong dan kenduri.

“Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid atau surau dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh yang bersesuaian dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu mete.

Wirid dan doa selepas solat dilaksanakan secara ringkas dan bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau pada bulan Ramadan juga perlu mengikuti SOP yang sama.

Katanya, solat berjemaah bagi solat sunat tarawih, tahajud, witir dan lain-lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal manakala aktiviti bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa, sahur dan moreh pula perlu penjarakan fizikal.

Katanya, jemaah juga masih dikehendaki mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka sepanjang berada di premis, mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera, telah menerima suntikan vaksin yang lengkap serta digalakkan membawa sejadah sendiri.

Jemaah juga dilarang berkumpul di dalam kawasan masjid dan surau selepas solat seperti bersembang, melepak dan seumpamanya, tidur di dalam masjid atau surau dan bersalaman atau berpelukan sesama jemaah.

Related posts

Leave a Comment