70 peratus Exco bawah 40 tahun

JOHOR BAHRU 26 Mac – Tujuh puluh peratus daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang mengangkat sumpah hari ini adalah orang muda berusia bawah 40 tahun.

Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, berkata barisan Exco itu juga dibarisi pelbagai kaum dan mengambil kira keseimbangan gender, mencerminkan wajah sebenar Bangsa Johor.

“Saya dan semua Exco menjunjung kasih atas semua titah nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan akan melakukan yang terbaik. Tahniah kepada ADUN yang dilantik.

“Saya percaya dan yakin semua akan dapat galas tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan dedikasi dalam tempoh lima tahun ini. Saya sedar cabaran menanti amat besar, apatah lagi kita masih berhadapan pandemik Covid-19.

Namun, saya bersama barisan Exco akan berusaha sehabis baik untuk memacu Johor ke tahap lebih baik demi kesejahteraan Bangsa Johor dengan dibantu pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya pada sidang media di Saujana, di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap memberi jaminan beliau dan barisan Exco akan bekerja keras untuk memenuhi segala janji sepanjang kempen Piliha Raya Negeri (PRN) Johor.

“Lima ikhtiar Barisan Nasional (BN) juga akan dilaksanakan dan jadi keutamaan kita. Teras kerajaan yang akan kita tekankan adalah bagi memastikan semua rakyat Johor tanpa kira agama dan latar belakang terbabit sama membangunkan Johor. Aspek kebajikan, pendidikan, ekonomi dan kesihatan rakyat akan turut jadi fokus kerajaan Johor,” katanya.

Senarai Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor:

1. Datuk Onn Hafiz Ghazi – Menteri Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.

2. Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.

3. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

4. K Raven (ADUN Tenggaroh) – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya.

5. Khairin Nisa Ismail (ADUN Serom) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

6. Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin) – Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.

7. Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah) – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.

8. Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng) – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan.

9. Lee Ting Han (ADUN Paloh) – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.

10. Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir) – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur.

11. Norliza Noh (ADUN Johor Lama) – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.

Related posts

Leave a Comment