Bukan lagi masa ‘berbulan madu’

JOHOR BAHRU 26 Mac – Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’. Itu ingatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, kepada  semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang baharu.

Sambil mengingatkan bahawa baginda akan memantau prestasi mereka, Sultan Ibrahim menegaskan tugas mereka sudah bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, semua Exco yang dilantik perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji atau ikhtiar yang dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing, dan sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah.

“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini. Kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Bekerjasamalah dengan semua pihak.

“Jangan lupa anda juga wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka. Sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaik-baiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco.

“Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaik-baiknya, jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” titah Sultan Ibrahim di akaun Facebook baginda, hari ini.

Terdahulu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di hadapan Sultan Ibrahim, hari ini.

Related posts

Leave a Comment