Kes harian terus meningkat

PUTRAJAYA 25 Mac – Kes jangkitan Covid-19 semalam menunjukkan peningkatan selepas merekodkan 24,316 berbanding 22,491 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 4,079,242.

Bagaimanapun jumlah kes sembuh mengatasi kes jangkitan dengan merekodkan  25,512 orang sembuh semalam menjadikan sehingga kini sebanyak 3,796,975 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, bagi kes baharu  semalam membabitkan 297 kes import mendapat jangkitan dari luar negara dengan 24,019 kes lagi adalah tempatan.

Secara keseluruhan, kes paling tinggi terdiri kalangan pesakit kategori satu iaitu sebanyak 13,299 diikuti kategori dua dengan 10,865 kes, kategori tiga (75 kes), kategori lima (45 kes) dan kategori empat 32 kes.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan 152 kes membabitkan kategori tiga hingga lima, sebanyak 53.29 peratus atau 81 kes membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas.

Selain itu, 50 peratus atau 76 kes mempunyai komorbid, sudah menerima dua dos vaksin, namun tiada dos penggalak (61 kes), sudah menerima dos penggalak (48 kes) dan tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (43 kes).

Sehingga kini, daripada jumlah kes aktif di seluruh negara terdapat 321 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 139 kes disahkan Covid-19 serta 182 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan pula terdapat 194 kes iaitu 90 kes disahkan Covid-19 serta 104 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, empat kluster baharu dikesan menjadikan sehingga kini terdapat 251 kluster yang masih aktif di seluruh negara.

Enam negeri mencatat penggunaan katil di ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya yang mencecah 100 peratus manakala Kuala Lumpur (67 peratus), Selangor (59 peratus), Perlis (55 peratus), Johor (53 peratus) dan Kelantan (52 peratus).

Tiada negeri yang menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Lapan negeri pula menunjukkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu di Selangor (79 peratus), Putrajaya (72 peratus), Kuala Lumpur (64 peratus), Terengganu (60 peratus), Melaka (59 peratus), Perak (57 peratus), Sarawak (55 peratus) dan Negeri Sembilan (54 peratus).

Related posts

Leave a Comment