Kes baharu Brunei Darussalam 1,393

BERAKAS 21 Mac – Brunei Darussalam melaporkan 1,393 kes baharu Covid-19, meningkat sedikit berbanding 1,294 yang direkodkan semalam membawa kepada jumlah keseluruhan 126,109 kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Awang Mohd. Amin Liew Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 1,215 adalah hasil daripada pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) yang dimuat naikkan ke aplikasi BruHealth.

Sebanyak 178 adalah daripada hasil 1,551 Ujian Makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.

Katanya tiga kematian direkodkan tetapi tidak dikategorikan sebagai kematian Covid-19 manakala 11 kes dalam kategori 4 dan lima kes kategori 5.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi II, berkata, sebanyak 2,314 kes dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan 113,614 kes pulih manakala jumlah kes aktif 12,262.

Dr. Mohd. Amin Liew yang mewakili Menteri Kesihatan pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 berkata, kadar pengisian katil di Pusat-pusat Pengasingan atau bed occupancy rate pada masa ini ialah sebanyak 5.4 peratus.

 Menurut beliau, sebanyak 195 kes aktif pula sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 12,065 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

 Sehingga 20 Mac, pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan bagi yang menerima tiga dos vaksin ialah sebanyak 59.8 peratus daripada keseluruhan penduduk manakala kadar satu dos dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

Related posts

Leave a Comment