Sultan Selangor terima Hamidin menghadap

KUALA LUMPUR 29 Jun –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menerima permohonan menghadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani petang semalam tetapi tarikh menghadap belum ditetapkan .

“Saya mendapat panggilan telefon daripada Datuk Munir kira-kira jam 2.30 petang Jumaat (semalam), iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan menghadap Tuanku Sultan Selangor.

Tuanku Sultan Selangor menitahkan beliau  (Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” kata Hamidin.

Hamidin berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Datuk Munir bahawa Sultan Sharafuddin akan berangkat ke Sarawak seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai 2024.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” katanya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Hukuman dikenakan terhadap Selangor FC selepas kelab itu tidak hadir bagi perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku Presiden FAM kerana baginda sudah lama mengenali beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 selain berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Berikutan itu, MFL kemudian mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC dengan denda RM100,000 dikurangkan kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

MFL turut membatalkan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bagaimanapun, bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar Selangor FC kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.

MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment