Tarikh PRU15, PM kata tunggulah

KUALA  LUMPUR 1 Okt. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, setakat ini tiada sebarang syarat diletakkan untuk mempercepat pilihan raya.

“Tidak ada (syarat)… Di UMNO kita ada ‘top five’, biro politik dan tiada yang berikan syarat.

“Kalau kita nak buat pilihan raya ada asas yang kuat untuk dipercepatkan; dan kita setuju secara bersama.

“… Cuma tarikh itu, tunggulah. Tunggulah kalau dari tahun lepas boleh tunggu, tahun ini pun boleh tunggu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Khas Bersama Warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) seluruh negara di Pusat Pameran Konvensyen Matrade, di sini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi memutuskan PRU15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ismail Sabri berkata, gesaan untuk mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu, dan sering disuarakan oleh UMNO sebelum ini.

“Daripada dulu kita nak percepatkan pilihan raya, UMNO bukan bercakap semalam, (tapi) dari dulu lagi.

“Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk beri mandat. Biar rakyat tentukan,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment