Onn Hafiz sah MB Johor ke-19

JOHOR BAHRU 15 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Onn Hafiz Ghazi sah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, di sini.

Cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO,  Onn Jaafar, itu kemudiannya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, kira-kira pukul 3 petang.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Pengerusi UMNO Johor, Hasni Mohammad, Menteri Besar ke-18 yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020 sehinggalah DUN dibubarkan, Januari lalu.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi DUN Machap pada PRN lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Berumur 43 tahun, lulusan jurusan perakaunan dari University of Hertfordshire ini juga adalah anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan,  Hishamuddin Hussien yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong.

Sementara itu , Onn Hafiz berkata, beliau berasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan Sultan Johor itu.

“Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan saya galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor,” katanya.

Beliau memberikan jaminan kepada Bangsa Johor, segala janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) akan ditunaikan dengan sebaik mungkin.

“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini.

“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan negeri ini dan setiap dari rakyatnya.

“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.

Related posts

Leave a Comment