Onn Hafiz hargai Hasni

JOHOR BAHRU 15 Mac – Menteri Besar Johor ke-19,  Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Hasni Mohammad yang memberi ruang dan laluan kepada orang muda bagi memimpin Johor.

Beliau juga mendedikasikan penghargaan khas kepada mantan Menteri Besar itu atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepemimpinan Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, bagi menstabilkan Johor yang disayangi.

“Langkah Datuk Seri Hasni itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan bahawa beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya. Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini supaya terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook.

Related posts

Leave a Comment