Malaysia catat penurunan kes harian

PUTRAJAYA 14 Mac – Jumlah kes jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan semalam apabila merekodkan 22,535 kes berbanding 26,250 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes kini mencecah 3,823,571.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22,174 kes adalah penularan tempatan membabitkan 21,522 warganegara (97.1 peratus) dan 652 bukan warganegara (2.9 peratus).

Manakala 361 kes import terdiri daripada 327 rakyat Malaysia dan 34 warga asing.

Beliau juga memberitahu,  sebanyak 25,356 kes sembuh dilaporkan yang menyumbang kepada sejumlah 3,468,888 kes kumulatif, setakat ini.

Katanya, ketika ini sebanyak 384 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 222 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 8,637 kes atau 38.33 peratus dalam Kategori 1;sebanyak 13,713 kes (60.85 peratus) dalam Kategori 2; Kategori 3 (72 kes atau 0.32 peratus); Kategori 4 (63 kes atau 0.28 peratus); dan 50 kes atau 0.22 peratus pesakit Kategori 5.

Daripada 185 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan semalam, sebanyak 39 kes (21.08 peratus) terdiri daripada individu yang tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 88 kes (47.57 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak; dan 58 kes (31.35 peratus) sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, KKM melaporkan 109 kes (58.92 peratus) dalam kalangan individu berusia 60 tahun dan ke atas; dan 53 kes (28.65 peratus) mempunyai komorbid.

Sebanyak enam kluster baharu jangkitan dikesan semalam, menjadikan jumlah kluster kini mencecah angka 6,881 manakala 6,492 kluster sudah ditamatkan dan 389 kluster masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, enam negeri menunjukkan penggunaan Katil Kes Kritikal atau ICU melebihi paras 50 peratus iaitu Putrajaya 100; Kelantan (75 peratus); Johor (73 peratus); Kuala Lumpur (73 peratus); Selangor (58 peratus) dan Perlis (55 peratus).

Sebanyak 12 negeri menunjukkan penggunaan katil bukan ICU melebihi paras 50 peratus iaitu Selangor (108 peratus); Kuala Lumpur (98 peratus); Putrajaya (92 peratus); Terengganu (91 peratus); Perak (89 peratus); Perlis (88 peratus); Sarawak (81 peratus); Kelantan (76 peratus); Melaka (80 peratus); Johor (61 peratus); Pulau Pinang (60 peratus), dan Pahang (57 peratus).

Setakat semalam juga tiada negeri yang menunjukkan peratusan penggunaan melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) namun ada peningkatan penggunaan alat bantuan pernafasan kepada 222 pesakit atau 25 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, semalam juga, sebanyak 1,757 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital membabitkan 721 kes (41 peratus) dalam kategori 3, 4, dan 5 dan 1,036 kes (59 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Related posts

Leave a Comment