Bersatu terus sokong Muhyiddin

JOHOR BAHRU 13 Mac – Bersatu akan terus menyokong kepemimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu, kata Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu.

Dalam kenyataan pada Ahad, Ahmad Faizal berkata, perjuangan Presiden Bersatu itu mesti diteruskan.

“Saya dan seluruh ahli parti di semua peringkat tetap menyokong dan mendukung kepimpinan beliau,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Ahmad Faizal, satu kajian menyeluruh akan dilakukan untuk mengenal pasti faktor prestasi Bersatu yang hanya memenangi dua daripada 33 kerusi yang ditandingi, selain faktor peratusan rendah pengundi keluar mengundi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan yang telah bertungkus lumus sepanjang kempen PRN Johor.

“Semangat kebersamaan ini mesti kita teruskan demi memperkasakan perjuangan parti kita. Kepada Allah, kami berserah,” katanya.

Muhyiddin pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama, Senai di sini malam tadi menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya dalam gabungan itu berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, beliau akur dan bersedia untuk mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan PRN kali ini.

Katanya, terserah kepada ahli serta pimpinan gabungan berkenaan yang membabitkan Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Saya tiada masalah kalau mereka kata saya tak payah pegang lagi jawatan sebagai Pengerusi PN.

“Kalau mahu menyalahkan pada pengerusi, itu terserah pada parti. Tapi hakikatnya, kalau menang (pilihan raya) saya kena bertanggungjawab, kalau kalah pun saya kena bertanggungjawab.

Saya bersedia (undur diri) bila-bila masa kalau ahli-ahli parti berbuat keputusan begitu,” katanya.

Beliau berkata, kedudukannya adalah atas persetujuan rakan-rakan seperjuangan dalam PN..

“Saya mengamalkan sistem demokrasi jadi hak memimpin bukan terletak pada saya tapi  pada pimpinan parti dalam komponen PN,” katanya.

PN pula hanya memenangi tiga kerusi iaitu DUN Endau, Maharani dan Bukit Kepong.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, walaupun terkilan dengan keputusan itu namun menghargai sokongan daripada rakyat hingga memenangi tiga kerusi itu.

Related posts

Leave a Comment