Empat korban tanah runtuh

AMPANG JAYA 11 Mac – Mangsa kelima dan terakhir insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai, di sini, ditemukan pukul 1.55 pagi ini oleh pasukan operasi mencari  dan menyelamat (SAR).

Penghuni sebuah rumah teres dua tingkat di situ, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Sebelum itu, pada jam 11.30 malam tadi, pasukan SAR berjaya menemui mangsa keempat, iaitu seorang kontraktor Air Selangor yang dilapor sedang menjalankan kerja penyelenggaraan ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 petang.

Dalam kejadian itu, mangsa pertama ditemukan selamat, manakala mangsa kedua yang juga isterinya dijumpai sudah meninggal dunia.

Operasi SAR diteruskan sehingga membawa kepada penemuan tiga lagi mangsa lelaki yang juga disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sebelum menamatkan operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjalankan operasi pemeriksaan terakhir dengan menggunakan teknik ‘Flashing’, iaitu pencarian menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9).

Langkah itu  adalah bagi membolehkan pasukan penyelamat memastikan tiada lagi mangsa lain yang masih tertimbus tetapi tidak dikenal pasti pada peringkat awal.

Susulan itu, operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 3 pagi ini.

Insiden tanah runtuh itu menyebabkan kerosakan 15 unit rumah teres dua tingkat dan 10 kenderaan yang tertimbus.

Dua daripada 15 kediaman berkenaan tertimbus sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment