Kes harian meningkat, Selangor tertinggi

PUTRAJAYA 11 Mac – Jumlah kes Covid-19 dalam negara semalam mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 30,787 kes berbanding 30,246 yang dilaporkan kelmarin manakala Selangor terus mendahului dengan 7,525 kes.

Kes baharu itu melibatkan 30,179 penularan tempatan dan 608 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,741,986 kes.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, kes aktif pula sebanyak 314,420 dengan penambahan 4,260, semalam.

Daripada jumlah kes keseluruhan itu, 302,242 atau 96.1 peratus kuarantin di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 3,039 atau 1.0 peratus, hospital 8,750 atau 2.8 peratus, Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) 160 atau 0.1 peratus dan ICU memerlukan ABP 229 atau 0.1 peratus.

Sebanyak 26,457 kes sembuh turut dilaporkan manakala sebanyak 70 kematian baharu dicatatkan, termasuk 19 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Sementara itu Kedah mencatatkan 2,927 kes diikuti Kuala Lumpur 2,919, Pulau Pinang 2,773, Johor 2,220 dan Negeri Sembilan 2,115.

Ini diikuti Sarawak 1,963, Kelantan 1,637, Pahang 1,601, Perak 1,469, Terengganu 1,236, Sabah 1,154, Melaka 732, Perlis 248, Putrajaya 139 dan Labuan 129.

 

Related posts

Leave a Comment