42 peratus kematian tertunggak

PUTRAJAYA 10 Mac – Kementerian Kesihatan menjelaskan sebanyak 42 peratus atau 48 daripada jumlah keseluruhan 113 kes kematian yang dilaporkan semalam adalah kes kematian tertunggak atau dilaporkan melebihi tempoh 72 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hanya 65 atau 58 peratus yang dilaporkan semalam menepati masa pelaporan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, sejak 1 Mac lalu, laporan kematian disebabkan oleh Covid-19 sudah ditambah baik di mana kematian perlu dilaporkan dalam tempoh 72 jam dengan sasaran yang ditetapkan adalah 80 peratus daripada jumlah kes kematian yang secara langsung dapat mengurangkan pelaporan kes lewat atau ‘backlog’.

“Secara purata, dari 1 Mac hingga 8 Mac lalu, sebanyak 77 peratus daripada laporan kematian adalah menepati tempoh ini.

Bagaimanapun, semalam daripada 113 kematian yang diumumkan, didapati hanya 65 kematian atau 58 peratus yang dilaporkan adalah menepati masa pelaporan dalam tempoh 72 jam, manakala selebihnya dilaporkan melebihi tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semakan pihaknya dengan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendapati bahawa kelewatan pelaporan kematian berkenaan adalah disebabkan faktor teknikal.

Sebagai contoh, kes kematian yang berlaku di hospital daerah yang terletak di kawasan pedalaman termasuk kes Brought in Dead (BID) dan memerlukan siasatan lanjut serta laporan daripada pakar perlu dikendalikan oleh hospital besar yang berdekatan.

“Namun begitu, faktor kelewatan ini sudah diteliti dan langkah penambahbaikan, bagi memastikan ketepatan masa atau ‘timeliness’ pelaporan kematian Covid-19 di Malaysia dapat dipertingkatkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment