113 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 10 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 113 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 33,497 orang, daripada 3.69 juta kes positif yang dikesan di negara ini.

Menurut data di portal COVIDNOW, 41 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Mengikut statistik semalam dikeluarkan portal GitHub, Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 22 kes, diikuti Sabah (18), Johor (14), Kedah (12) dan Pulau Pinang (10).

Negeri yang mencatatkan kematian di bawah 10 kes adalah Pahang dengan sembilan kes diikuti, Perak (tujuh), Negeri Sembilan (enam), Terengganu (empat), Kelantan (tiga) serta Melaka, Perlis, Sarawak dan Kuala Lumpur (masing-masing dua).

Sementara itu, terdapat 310,160 kes aktif Covid-19 di seluruh negara di mana daripada jumlah itu, 297,924 individu atau 96.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah

Seramai 3,278 orang pula ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC), 8,570 kes dirawat di hospital dan 388 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) yang membabitkan 163 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 225 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment