Alat semburan bantu cegah Covid-19

BANGKOK 8 Mac – Alat semburan hidung keluaran Thailand untuk membantu mencegah Covid-19 dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, kata Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun.

Beliau berkata alat itu dibangunkan hasil kerjasama Universiti Chulalongkorn, Universiti Silpakorn, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (HSRI), Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan sebuah syarikat biosains swasta.

Menurut beliau, prototaip antibodi untuk alat itu sudah pun diperoleh dan akan dipatenkan dan perjanjian kerjasama telah dimeterai untuk mengeluarkan semburan hidung anti-Covid-19.

Pada taklimat harian Covid-19 semalam, beliau memberitahu teknologi itu telah dipindahkan ke sektor swasta.

Penyelidikan klinikal juga telah dijalankan untuk memenuhi piawaian yang diperlukan untuk pendaftaran dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara pada Jun.

Minggu lepas, timbalan jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek berkata lebih 20 vaksin Covid-19 sudah dikaji dan dibangunkan oleh agensi negeri, universiti dan syarikat sejak pandemik bermula.

Beliau berkata empat vaksin Covid-19 yang dibangunkan secara tempatan dan alat semburan hidung akan didaftarkan dengan FDA Thailand tidak lama lagi.

Related posts

Leave a Comment