MH370 selepas 8 tahun hilang

PUTRAJAYA 7 Mac – Setelah lapan tahun, kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan  aspirasi untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata Malaysia juga berminat menimbang dengan teliti serta mengkaji semua maklumat baharu yang boleh dipercayai bagi mengenal pasti lokasi pesawat itu.

“Kami hanya memerlukan bukti yang boleh dipercayai serta boleh diambil tindakan sebelum memulakan ekspedisi yang kita yakin mampu membuahkan hasil.

“Maklumat yang boleh dipercayai ini dapat digunakan untuk mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu. Dengan ini, Pertimbangan akan dibuat dalam menentukan masa depan operasi mencari dan penubuhan semula pasukan siasatan,” katanya dalam rakaman ucapan semalam sempena ulang tahun kelapan MH370.

Esok merupakan tahun kelapan insiden MH370 lenyap tanpa sebarang kesan sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan tidak terjawab mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat malang itu .

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.

Related posts

Leave a Comment