MRT3 digantung PH diteruskan

KUALA LUMPUR 4 Mac – Kerajaan meluluskan pembinaan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang sebelum ini digantung oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keutamaan projek akan diberikan kepada kontraktor tempatan khususnya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

MRT3 yang akan menghubungkan laluan MRT1 dan MRT2 di sekitar Lembah Klang dijangka memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, selaras dengan objektif kerajaan untuk memperkasa sektor perniagaan serta mewujudkan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

“Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya.

Pelan awal MRT3 merangkumi 30 stesen, di mana 10 daripadanya ialah stesen pertukaran MRT, transit aliran ringan (LRT) dan laluan KTM Komuter.

Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju memperuntukkan RM15 bilion perbelanjaan tambahan dalam tempoh tujuh tahun mulai tahun depan bagi mempertingkat dan mempercepatkan projek tebatan banjir di negara ini.

Pada masa ini, kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk projek tebatan banjir.

Kerajaan juga, bersetuju melaksanakan Projek Lebuhraya Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Trans Borneo yang akan melengkapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dijalankan di Sarawak dan Sabah.

Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan juga bersetuju meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan di negeri ini yang

melibatkan 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun.

Related posts

Leave a Comment