SEJUTA orang meninggalkan Ukraine sejak Rusia melancarkan serangan ke atas negara itu seminggu lalu, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) pada Khamis, 3 Mac
“Hanya dalam tujuh hari, kami telah menyaksikan penghijrahan satu juta pelarian dari Ukraine ke negara jiran,” kata Filippo Grandi di Twitter
Katanya, bagi jutaan penduduk di Ukraine, sudah tiba masanya untuk gencatan senjata supaya bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa dapat diberikan.
Sementara itu Jepun merancang untuk menerima pelarian Ukraine dalam masa terdekat.
Menurut laporan media, Perdana Menteri Fumio Kishida berkata, kerajaan terlebih dahulu akan membenarkan pelarian Ukraine yang mempunyai saudara atau kenalan di Jepun.
Bagaimanapun ia turut membuka pintunya kepada mereka yang lain, memandangkan situasi kemanusiaan yang semakin buruk.
“Jepun akan menerima pelarian dari Ukraine ke negara ketiga sebagai menunjukkan solidariti kami bersama rakyat Ukraine,” kata Kishida kepada pemberita selepas panggilan telefon dengan pemimpin Jerman dan Poland.
“Keadaan di Ukraine sangat tegang, dan pelarian semakin ramai. Kami sedang membuat persiapan untuk menghadapi situasi ini secepat mungkin,” katanya.
