Naik GST ‘sukar, tidak popular’

SINGAPURA 2 Mac –  Langkah menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), satu komponen dalam sistem pencukaian negara, adalah sukar dan tidak popular tetapi ia perlu dilaksanakan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Katanya, langkah itu akan meletakkan kedudukan kewangan awam pada asas lebih kukuh, di samping menyediakan keperluan jagaan kesihatan negara yang semakin meningkat.

Beliau berkata, Pakej Jaminan GST, akan mengurangkan kesan kenaikan GST kepada rakyat, manakala Skim Baucar GST memberi bantuan berterusan kepada golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan malah menjangkaui tempoh peralihan.

“Saya berharap rakyat Singapura akan memahami mengapa kita melakukan semua ini dan menyokong Pemerintah untuk membangunkan jaringan keselamatan sosial yang mampan bagi rakyat Singapura,” kata Lee dalam catatan Facebooknya.

Catatan itu dibuat sejurus selepas Kenyataan Belanjawan 2022 selesai dibahaskan hari ini.

Lee juga menjelaskan bahawa pemerintah tidak boleh terus-menerus bergantung kepada rizab negara, sebaliknya, harus menggunakannya dengan berhemat serta berhati-hati demi rakyat Singapura dan generasi seterusnya.

Menurut Lee, ketika menggulung ucapan, Menteri Kewangan Lawrence Wong menekankan perbelanjaan pemerintah mesti dilakukan dengan penuh berhemah, bertanggungjawab dan berdisiplin.

“Kita tidak boleh bergantung kepada terus mengeluarkan lebih banyak rizab kita.

Sikap cermat dan ketahanan diri para pemimpin lalu kita berjaya membina rizab yang membantu kita mengharungi Covid-19,” kata Lee.

Pemerintah katanya mesti melakukan perkara yang sama untuk generasi akan datang yang tentunya bakal menghadapi lebih banyak krisis  tersendiri.

“Memang mudah untuk menolak tanggungjawab kepada golongan berpendapatan lebih tinggi. Namun, sistem cukai yang mana bebannya ditanggung oleh hanya sekumpulan kecil manakala yang lain berharap pada sumbangan mereka, tidak boleh diteruskan.

“Sistem kita adalah berdasarkan tanggungjawab bersama. Setiap orang menyumbang sesuatu mengikut kemampuan masing-masing,” kata beliau.

Setiap orang katanya meraih manfaat daripada perbelanjaan negara dengan golongan lebih terjejas mendapat lebih banyak manfaat dan ini adalah satu pendekatan yang adil dan inklusif.

Related posts

Leave a Comment