19,159 kes baharu Singapura

SINGAPURA 2 Mac – Kementerian Kesihatan (MoH) setakat pukul 12 tengah hari ini melaporkan 19,159 kes baharu Covid-19 serta 10 kematian

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 18,999 adalah jangkitan tempatan dan 160 kes import menjadikan jumlah keseluruhan 767,663 dan 1,040 kematian.

Seramai 14,722 pesakit dibenarkan keluar hospital manakala jumlah kes baharu Protokol 2 adalah 16,482 yang terdiri daripada 109 kes import dan 16,374 jangkitan tempatan.

Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 2,677 kes disahkan menerusi ujian PCR di mana 2,625 adalah jangkitan tempatan manakala 52 adalah kes import.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 0.98.

Menurut MoH, sebanyak 1,708 pesakit masih dirawat di hospital, turun sedikit berbanding 1,726 semalam di mana 215 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 51 dipantau rapi di ICU.

Mengenai vaksinasi, setakat semalam, 95 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Perangkaan itu dikemas kini termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun selepas kumpulan usia itu mula divaksin pada 27 Disember.

Related posts

Leave a Comment