3,887 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 2 Mac – Dua lagi meninggal dunia dan 3,887 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Brunei Darussalam dalam tempoh 24 jam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 66 kematian dan 71,649 kes jangkitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II,  Dr.  Mohd. Amin Liew Abdullah berkata, satu kematian disahkan berkaitan Covid-19 manakala satu kes lagi masih dalam siasatan.

Beliau yang mewakili Menteri Kesihatan pada sidang media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam berkata, sebanyak enam kes berada dalam Kategori 4, iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak tujuh kes lagi dalam Kategori 5, iaitu memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Katanya dalam tempoh masa 24 jam yang lalu juga, sebanyak 3,887 kes direkodkan di mana 839 kes adalah hasil daripada 4,790 ujian makmal RT-PCR dalam tempoh 24 jam manakala 3,048 lagi hasil pengesanan daripada ujian ART.

Sementara itu, sebanyak 2,112 kes direkodkan sembuh yang membawa jumlah kes pulih kepada 38,325 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 33,195.

Dr. Mohd Amin berkata, pada masa ini, kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 10.3.

Beliau juga memberitahu, sebanyak 32,825 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga semalam, sebanyak 54.9 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

Related posts

Leave a Comment