PKRC MAEPS dikenali PKRC ZWT

SERDANG 2 Mac –  Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang diaktifkan semula Jumaat lalu kini dikenali sebagai PKRC Berisiko Rendah Zon Wilayah Tengah (PKRC ZWT).

Pusat ini yang dibuka pada skala kecil dengan kapasiti 850 katil adalah bagi menampung pesakit Covid-19 Kategori 1, 2A dan 2B.

Timbalan Komander Unified Command Centre Dr Ridzuan Mohd Isa berkata, PKRC ZWT telah menerima 119 pesakit dan setakat ini 29 pesakit sudah dibenarkan keluar, manakala 90 lagi yang berumur antara 13 dan 50 tahun, masih menerima rawatan.

“Pusat kuarantin ini dibuka semula untuk mengurangkan beban hospital di sekitar Lembah Klang merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam taklimat media hari ini,

Pesakit Covid-19 Kategori 1 tidak bergejala, Kategori 2A pula mengalami simptom seperti sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas namun masih boleh melakukan aktiviti harian atau hilang deria bau, loya, muntah, keletihan namun masih boleh melakukan aktiviti harian.

Pesakit Kategori 2B antaranya mengalami demam berpanjangan selama dua hari dan lebih, mengalami kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sakit dada, hilang selera makan, berasa letih terutama semasa melakukan aktiviti harian atau semasa bangun tidur dan perlu berjalan dengan bantuan.

MAEPS diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi Kategori 1 dan 2 sebelum ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Disember 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC susulan peningkatan kes dan ia dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada 24 Januari dengan menerima pesakit Kategori 3 dan 4.

PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas dan sepanjang 14 bulan beroperasi, seramai 166,072 pesakit sudah dirawat di pusat itu.

Sementara itu, Pengarah PKRC ZWT Dr Ferwhan Fairis Ab Karim berkata pengoperasian pusat kuarantin di Dewan A dibahagikan kepada tiga ruang iaitu A1 – ruang pesakit lelaki yang mempunyai kapasiti 550 katil, A2 – ruang pesakit wanita yang boleh menempatkan 300 katil dan A3 untuk urusan pentadbiran.

Beliau berkata anjung terbuka turut disediakan di ruang pesakit lelaki dan wanita bagi memberi peluang kepada pesakit beriadah dan secara tidak langsung membantu kesihatan mental mereka.

Related posts

Leave a Comment