Premier Sarawak ganti ‘CM’

KUCHING 1 Mac – Mulai hari ini, gelaran Ketua Menteri Sarawak (Chief Minister) perlu menggunakan istilah Premier Sarawak berikutan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri berkaitan istilah itu berkuat kuasa hari ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Jaul Samion, istilah timbalan ketua menteri juga dirujuk sebagai Timbalan Premier manakala menteri muda akan digunakan sebagai Timbalan Menteri berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Pejabat Ketua Menteri akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai Office of the Premier of Sarawak dan dalam bahasa Malaysia sebagai Pejabat Premier Sarawak.

Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 15 Februari 2022 telah meluluskan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sarawak yang melibatkan penukaran istilah ketua menteri kepada Premier.

Dalam sesi undian selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah pada 15 Februari lalu, 67 ADUN menyokong pindaan tersebut manakala enam Ahli Dewan Biasa tidak bersetuju.

Turut dipinda di bawah RUU berkenaan adalah Perkara 7A bagi menggantikan jawatan Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.

Terdahulu pindaan untuk dicadangkan menamakan semula terma Ketua Menteri kepada ‘Premier’ bagi menghormati Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 Akta A1642 yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa 11 Februari lalu.

Pindaan Akta A1642 itu juga merangkumi pindaan Perkara 1(2), 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan yang juga selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia antara Persekutuan Malaya, dan Sabah.

Related posts

Leave a Comment