KUALA LUMPUR 15 Jan. – Prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan aktiviti atau pembukaan masjid bukan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa sultan, raja dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Saya terima banyak aduan, termasuk daripada penceramah yang menyalahkan MKN berkenaan SOP ketat aktiviti di masjid.
“Contoh, jika masjid dibuka untuk lima orang sahaja, satu pertiga atau satu perdua daripada kapasiti masjid, maka keputusan terbabit adalah di bawah perkenan sultan di negeri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kementerian berkaitan boleh mengusulkan cadangan melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia untuk penelitian Pihak Berkuasa Agama Negeri, namun keputusan akhir adalah hak mutlak dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja di setiap negeri.
Justeru beliau mengingatkan semua pihak berhati-hati mengeluarkan pandangan ketika mempersoal SOP di masjid dan surau kerana ia ibarat mempersoal keputusan sultan, selain dianggap sebagai kritikan dituju kepada pemerintah di setiap negeri.