Tiada had umur masuki dua masjid suci

MAKKAH 28 Feb. – Tiada lagi had umur untuk memasuki Masjidilharam dan Masjid Nabawi sama ada bagi tujuan umrah mahupun ziarah, dengan syarat memiliki status ‘imun’ dalam aplikasi ‘Tawakkalna’.

Ini bermakna kanak-kanak boleh mengunjungi kedua- dua masjid suci itu bagi tujuan solat, umrah atau ziarah.

Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Saudi menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya menyatakan tiada lagi had umur ditetapkan bagi pelawat dan jemaah umrah memasuki Dua Masjid Suci.

Sebelum ini, hanya pelawat dan jemaah berumur tujuh tahun ke atas dan telah lengkap divaksin dibenarkan memasuki kedua-dua masjid itu.

MoHU juga dijangka melonggarkan SOP dan langkah-langkah pencegahan lain memandangkan kes Covid-19 di negara itu terus mencatatkan penurunan ketara, sebagai persediaan meningkatkan kapasiti jemaah pada bulan Ramadan tidak lama lagi.

Difahamkan kelonggaran itu juga berikutan peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 11 tahun di negara itu.

Awal bulan ini, Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut berkongsi SOP semasa Masjidilharam dan Masjid Nabawi yang antara lain menyenaraikan hanya individu berusia 12 tahun ke atas dibenarkan mengunjungi Dua Masjid Suci berkenaan.

Related posts

Leave a Comment