Warisan sekadar beri pilihan

KULAI 23 Feb. – Parti Warisan mengumumkan Bukit Batu sebagai kerusi pertama untuk dirandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memberi pilihan kepada rakyat negeri itu, bukannya bagi membentuk kerajaan.

Presidennya Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan mahu menjadi pembangkang yang kuat dan bilangan serta kerusi selebihnya yang akan ditandingi, akan diumumkan sebelum hari penamaan calon yang berbaki tiga hari lagi.

“Kita akan bertanding dalam Johor, mungkin tidak banyak kerusi, tetapi sasaran kita adalah untuk menjadi pembangkang yang kuat di Johor. Kita akan mulakan kebangkitan rakyat di negeri ini sebelum kita sasarkan untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Dengan itu, Warisan akan bertanding di DUN Bukit Batu, pengundi di sini tidak perlu risau kerana calon kita adalah calon tempatan dan orang muda, bukan orang Sabah,” katanya ketika berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Warisan, di sini malam ini.

Mohd Shafie berkata, Warisan akan meletakkan semua muka baharu sebagai calon, biarpun ada pemimpinnya merupakan bekas penyandang kerusi di Johor.

Untuk rekod, DUN Bukit Batu yang terletak dalam Parlimen Kulai, dimenangi oleh Jimmy Puah Wee Tse dari Parti Keadilan Rakyat, dengan majoriti 10,057 undi.

Dalam pada itu, beliau berkata, andaian bahawa Warisan tidak sepatutnya bertanding di luar Sabah adalah kenyataan dangkal, dan tidak menggambarkan semangat majmuk di negara ini.

“Kalau DAP yang pemimpinnya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng boleh bertanding di Sarawak, kalau Pas yang datang dari Kelantan, boleh ada di Putrajaya, takkan Warisan dan Shafie yang dari Sabah, tidak boleh berada di Johor?

“Orang Melayu tidak mati kalau tak undi keris, Islam tidak mati kalau tidak undi bulan, Cina tidak mati kalau tak undi roket, jadi rakyat jangan terpedaya dengan bendera dan logo,  sebaliknya ukur manusia daripada amalan mereka,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment