Rekod kes harian tertinggi Singapura

SINGAPURA 22 Feb. – Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 26,032 kes baru COVID-19 di Singapura setakat 12.00 tengah hari Selasa (22 Feb), yang terdiri daripada 25,731 jangkitan tempatan dan 301 kes import.

Menurut MoH, empat lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan dengan 17,163 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Rekod menunjukkan jumlah kes tertinggi yang direkodkan sebelum ini ialah pada 15 Februari dengan 19,420 kes.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 622,293 dengan jumlah kematian 956 orang.

Sebanyak 22,705 adalah kes baharu Protokol 2 yang terdiri daripada 70 kes import dan 22,635 tempatan. Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Baki 3,327 kes disahkan menerusi ujian PCR di mana 3,096 adalah jangkitan tempatan manakala 231 adalah kes import.

Seramai 1,608 pesakit masih dirawat di hospital, berbanding 1,606 semalam di mana 190 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa: 190 manakala 46 kes dipantau rapi di ICU.

Menurut MoH, walaupun bilangan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan penjagaan unit rawatan rapi (ICU) tidak tinggi, terdapat lonjakan bagi permintaan untuk katil hospital, kebanyakan bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik.

Ramai pesakit telah ke hospital, poliklinik dan klinik biasa dengan mengalami simpton ringan atau tiada simptom untuk mendapatkan ujian pantas antigen (ART) yang dijalankan oleh profesional perubatan dan didokumenkan dalam rekod MoH.

“Ini telah menambah beban kerja yang ketara kepada penyedia penjagaan kesihatan kami yang sudah berada di bawah tekanan yang ketara,” kata MoH

Justeru MoH menegaskan bahawa melainkan orang awam yang mengalami kecemasan, mereka tidak seharusnya tergesa-gesa ke jabatan kecemasan hospital.

Pesakit, termasuk kanak-kanak, yang masuk ke jabatan kecemasan dengan keadaan bukan kecemasan boleh dialihkan ke klinik penjagaan segera atau klinik penjagaan lain untuk penilaian lanjut.

Related posts

Leave a Comment