Denda RM1 j seleweng minyak subsidi

SHAH ALAM 5 Julai – Sebanyak 15 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi dikenakan tindakan termasuk ditarik semula lesen oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Rosol Wahid, berkata tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati syarikat terbabit menyeleweng bekalan minyak masak paket satu kilogram ke negara jiran.

Semua syarikat ini akan diheret ke mahkamah untuk pertuduhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan syarikat boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan terhadap dua premis pembungkusan minyak masak di Seksyen U5 di sini, hari ini.

Rosol berkata, kuota penghasilan minyak masak paket yang diberi kepada 15 syarikat itu dipindahkan ke syarikat lain.

Katanya, penarikan lesen itu bukan bermakna penghasilan minyak masak paket berkurangan.

“Pengeluaran tetap 60,000 kilogram sebulan dilakukan melalui pemindahan kuota kepada syarikat lain,” katanya.

Katanya, KPDNHEP turut menyiasat dua lagi syarikat pembungkusan di Selangor dan Perak kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan minyak masak paket ke negara jiran.

Katanya, belum ada tangkapan dibuat setakat ini, namun siasatan sudah dimulakan dan lazimnya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

“Tidak sepatutnya berlaku subsidi yang diberikan kerajaan untuk manfaat rakyat, namun dinikmati oleh warga asing.

“Atas sebab itu kita melakukan pemeriksaan secara agresif sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat hari bulan ini, sebanyak 22 aduan berkaitan minyak masak dan 25 aduan berkaitan ayam diterima KPDNHEP.

Bagi memastikan setiap aduan daripada pengguna dapat diuruskan dengan lebih berkesan, KPDNHEP mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Related posts

Leave a Comment