MAKKAH: Jemaah haji Malaysia mula tiba di Arafah selepas memulakan pergerakan ke Masyair secara berperingkat seawal pukul 6 pagi dengan menaiki bas khas yang disewa pihak Lembaga Tabung Haji (TH).
Dalam kalangan 31,600 jemaah Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024 itu, ada yang bertolak lewat pagi dan lewat petang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, membuat pelepasan pagi tadi dengan tiga buah bas yang bergerak dari Maktab 77 dan 78 di Hotel Abraj Al-Janaderiyah, begitu juga dari maktab lain.
Mohd Na’im mengharapkan dan mendoakan semua jemaah yang memulakan wukuf esok akan diberikan kemudahan dalam perjalanan untuk berwukuf di Arafah tanpa sebarang masalah dan mendapat haji yang mabrur.
Beliau mengharapkan jemaah memberikan tumpuan kepada ibadah dan mengelakkan perkara-perkara yang lagha (melalaikan) kerana ia boleh menjejaskan kemabruran haji kita yang dipohon daripada Allah.
Sebanyak 20 bas disediakan untuk setiap maktab di mana terdapat 10 maktab yang dibahagikan kepada empat (4) zon iaitu Zon A, Zon B, Zon C dan Zon D.
Jemaah yang sakit dan perlukan bantuan khas juga akan dibawa menaiki Safari Wukuf, bas khas ke Arafah dan mereka ini akan ditemani oleh PENEMAN iaitu Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman bagi membantu jemaah warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus sepanjang tempoh kemuncak ibadah haji atau masyair.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, penguatkuasaan daripada pelbagai pihak berkuasa pada tahun ini sangat ketat dan banyak tangkapan sudah dibuat.
Justeru beliau menasihati jemaah haji tahun akan datang agar lebih berhati-hati untuk mengelak masuk ke Makkah dan Madinah tanpa permit sah sama ada visa yang dikeluarkan oleh TH atau visa Mujamalah.
Menurut Mohd Na`im, kesemua jemaah Malaysia yang berada di dalam bas sudah disemak oleh pihak berkuasa Nusuk dan kemudian bas terbabit akan ada satu pelekat khas pada pintu bas sebagai tanda khusus untuk memudahkan pihak berkuasa yang membuat sekatan jalan raya mengenal pasti bahawa penumpang bas sudah disemak.
Nnnn
