Brunei capai lebih 1,000 kes harian

  • BERAKAS 12 Feb. – Kes jangkitan harian Covid-19 di Brunei Darussalam terus menunjukkan peningkatan apabila jumlah kes mencapai angka tertinggi hari ini iaitu  1,125 berbanding 981 yang direkodkan semalam.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar pada sidang media perkembangan Covid-19 berkata, dengan pertambahan itu, jumlah keseluruhan kes yang dikesan di negara ini  meningkat kepada 21,579.

Kesemua kes baharu tempatan itu adalah hasil daripada 6,127 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. 

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tiga kes dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi, manakala tidak ada kes dalam Kategori 5.

Sementara itu, sebanyak 281 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di NBD kepada 16,891 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 4,586.

Kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ ialah sebanyak 27.4  peratus.

Bagi pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, setakat 11 Februari 2022, kadar keseluruhan penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ialah 94.9 peratus.

Manakala kadar bagi yang menerima dua dos vaksin ialah 94.1 peratus dan sebanyak 45.1 peratus pula bagi yang menerima tiga dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment