PUTRAJAYA 10 Feb. – Kementerian Kesihatan melaporkan sembilan kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 32,065 orang, daripada 2.95 juta kes positif yang dikesan di negara ini.
Menurut data di portal COVIDNOW, empat daripada sembilan kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 94,515 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada
jumlah itu, 83,906 individu atau 88.8 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,405 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 5,057 di hospital dan 147 di unit rawatan rapi (ICU) di mana 68 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 79 lagi memerlukan mesin ventilator.