Johor mengundi 12 Mac

JOHOR BAHRU 9 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata tarikh mengundi awal pula ditetapkan pada 8 Mac.

Menurut data SPR, seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

PRN Johor perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14.

SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas,  Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Related posts

Leave a Comment