WHO gesa longgar secara berperingkat

GENEVA: Gelombang jangkitan varian Omicron belum sampai kemuncaknya di banyak negara dan sebarang tindakan melonggarkan  langkah-langkah untuk membendung penularannya harus dilakukan secara berperingkat.

Ketua teknikal bagi Covid-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Maria Van Kerkhove berkata, WHO menggesa semua negara mengekalkan tahap kewaspadaan kerana banyak negara masih belum mengalami kemuncak varian Omicron.

“Banyak negara masih mempunyai tahap perlindungan vaksinasi yang rendah bagi individu mudah terjejas,” katanya dalam satu taklimat media..

Beliau mengingatkan sekarang bukan masanya untuk menarik balik semua langkah pembendungan sekali gus.

“Kami sentiasa menggesa supaya mengambil langkah berhati-hati dalam melaksanakan langkah-langkah campur tangan serta menarik balik langkah-langkah itu dengan cara berperingkat kerana virus ini agak dinamik,” katanya.

Sementara itu  Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata WHO prihatin terhadap apa yang berlaku di sesetengah negara yang beranggapan tidak perlu mencegah penularan disebabkan ada vaksin, dan Omicron lebih mudah berjangkit tetapi kesannya kurang teruk.

“Ini tidak benar,” kata Tedros di taklimat yang sama itu.

Beliau mengingatkan bahawa lebih banyak berlaku penularan bermakna lebih banyak kematian.

“Kami bukan meminta mana-mana negara supaya kembali melaksanakan perintah berkurung. Namun kami menggesa semua negara supaya melindungi penduduk mereka, gunakan apa jua cara bukan bergantung pada vaksin sahaja,” katanya.

Tedros berkata, masih terlalu awal bagi mana-mana negara untuk ‘menyerah diri atau mengisytiharkan kemenangan’.

Related posts

Leave a Comment